Monday 21 November 2011

KOGNITIF

PERKEMBANGAN KOGNITIF

Perkembangan kognitif merupakan proses peningkatan keupayaan pemikiran, pengetahuan dan keintelektualan seseorang kanak-kanak dan kemampuan menjana akal budi dalam pelbagai aktiviti penyelesaian masalah, memahami, menganalisa, dan membentuk pengetahuan serta pemahaman baru terhadap pengalaman yang dilaluinya. Perkembangan kognitif merupakan salah satu daripada proses tumbesaran yang dilalui oleh setiap kanak-kanak. Proses ini sangat penting kerana ia akan mempengaruhi kehidupan dan masa depan seseorang kanak-kanak. Perkembangan kognitif sering dikaitkan dengan proses perkembangan intelek seseorang.
Proses kognitif melibatkan perubahan-perubahan dalam kemampuan dan pola berfikir, kemahiran berbahasa, dan cara individu memperoleh pengetahuan dari lingkungannya. Aktiviti-aktiviti seperti mengamati dan mengklasifikasi, menghafal sajak atau doa, memecahkan soal-soal matematik, dan menceritakan pengalaman, merupakan proses kognitif dalam perkembangan anak. Dalam konteks ini, kita tidak boleh lari daripada membincangkan teori perkembangan kognitif yang diutarakan oleh Jean Piaget. Beliau berpendapat pemikiran sebagai satu proses yang disedari dan berkembang secara berperingkat-peringkat. 
Ibu bapa dapat mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak dengan memindahkan pengetahuan berkenaan maklumat dan budaya dalam menunjuk ajar mereka melalui tingkah laku ibu bapa itu sendiri.
Menurut Piaget pula, pada peringkat pertengahan dan akhir kanak-kanak, Pemikiran Olahan Konkrit meliputi olahan mental yang membolehkan kanak-kanak melakukan aktiviti mental yang terdahulu dilakukan secara fizikal. Olahan ini membolehkan kanak-kanak melakukan pemikiran pembalikan dan juga menunjukkan kemahiran klasifikasi. Daripada segi ingatan pula Ingatan Jangka Panjang (IJP) meningkat dan strategi seperti latihan akan memberikan kesan kepada IJP kanak-kanak. Cara kanak-kanak berfikir dan menyelesaikan masalah. Kanak-kanak pada peringkat pra sekolah banyak menggunakan simbol dalam perbualan untuk menunjukkan keupayaan penggunaan bahasa. 
Pendidikan awal yang berkualiti amat perlu bagi meningkatkan perkembangan menyeluruh seorang kanak-kanak. Kurikulum Prasekolah Kebangsaan menggariskan enam komponen utama yang menyumbang kepada perkembangan menyeluruh. Ia merangkumi bahasa dan komunikasi, perkembangan kognitif, kerohanian moral, perkembangan emosi, perkembangan fizikal serta kreativiti dan estetika. Manakala perkembangan kognitif pula melibatkan pemerhatian, perbandingan dan diskriminasi, ramalan, konsep masa, konsep ruang dan penyelesaian masalah, pengelasan, padanan satu dengan satu konsep nombor, operasi nombor dan pengukuran.
Kanak-kanak akhir pula sudah mula memahami aspek yang melibatkan logik dan mampu untuk menggabungkan perkara logik dengan pemikiran yang abstrak. Pada tahap ini juga, kemampuan pemikiran yang baru juga akan didapati contohnya ialah memikirkan perkara yang abstrak, memikirkan proses dalam pemikirannya dan juga mereka melihat sesuatu perkara sebagai relatif lebih daripada yang jelas. Pada tahap ini juga, kanak-kanak sudah mula mempraktikkan kemampuan baru melalui lawak dan pergaduhan dengan ibu bapa dan dengan yang lain.
 Kanak-kanak perlulah diajar dan diawasi bukan dikongkong perkembangan mindanya, supaya kanak-kanak lebih selesa belajar dan perkembangan serta pertumbuhan minda tidak terbantut. Kanak-kanak yang membesar dalam keadaan yang serba kekurangan kebanyakannya mengalami masalah pembelajaran dan akhirnya nanti akan masuk ke Kelas Pemulihan Khas atau Pendidikan Khas.

No comments:

Post a Comment

MUSIC PICTURE MY MOOD